Popular Post

My Blog List

Followers

  • Mujahidah Hafizah

  • La Tahzan...

  • Jaga Iman

  • Aurat




Rasulullah bersabda,

“Para wanita yang berpakaian tetapi (pada hakikatnya) telanjang, lenggak-lengkok, kepala mereka seperti punuk unta, mereka tidak akan masuk syurga dan tidak mencium semerbak harumnya." 
                                                                                                                                      (HR. Abu Daud)

Rasulullah bersabda,
” Tidak diterima solat wanita dewasa kecuali yang memakai khimar (tudung)"
                                                                                              (HR. Ahmad, Abu Daud, Tirmidzi, bn Majah)

Kajian ilmiah kontemporari telah mendapati perempuan yang tidak bertudung atau berpakaian tetapi ketat, atau telus, akan mengalami pelbagai penyakit kanser di bahagian anggota tubuhnya yang terbuka dan yang mengenakan pakaian ketat-ketat. Majalah perubatan Britain mengeluarkan hasil kajian ilmiah ini dengan mengutip beberapa fakta, antaranya bahawa kanser milanoma pada usia awal, dan semakin bertambah dan merebak sehingga di kaki.

Sebab utama penyakit kanser ini adalah pakaian ketat yang dikenakan oleh perempuan di bawah terik matahari dalam waktu yang panjang selepas bertahun-tahun. Sarung kaki nilon yang mereka kenakan tidak sedikitpun bermanfaat dalam menjaga kaki mereka dari kanser.

Majalah perubatan Britain tersebut telah pun telah melakukan undian tentang penyakit milanoma ini, dan seolah keadaan mereka mirip dengan keadaan orang-orang penderhaka (orang-orang kafir Arab) yang di da’wahi oleh Rasulullah.

Tentang hal ini Allah berfirman:

“Dan ingatlah ketika mereka katakan: Ya Allah andai hal ini (Al-Qur’an) adalah benar dari sisimu, maka hujanilah kami dengan batu dari langit atau datangkanlah kepada kami azab yang pedih”
                                                                                                                                  (Surah Al-Anfaal: 32)

Dan sungguh telah datang azab yang pedih ataupun yang lebih ringan dari hal itu, iaitu kanser di mana kanser itu adalah seganas-ganasnya kanser dari pelbagai kanser. Penyakit ini merupakan akibat dari sengatan matahari yang mengandungi ultra violet dalam waktu yang panjang disetiap pakaian yang ketat, pakaian pantai (yang biasa dipakai orang-orang kafir ketika di pantai dan berjemur di sana) yang mereka kenakan. Penyakit ini terkadang mengenai seluruh tubuh dan dengan kadar yang berbeza-beza. Gejala awal adalah seperti bulatan berwarna hitam agak lebar.

Kadang-kadang berupa bulatan kecil saja, kebanyakan di kawasan kaki atau betis dan di kawasan sekitar mata, kemudian merebak ke seluruh bahagian tubuh disertai pertumbuhan di kawasan yang biasa dilihat, pertautan limpa (kawasan di atas paha), dan menyerang darah, dan menetap di hati serta merosakkannya.
Ia juga boleh menyerang janin di dalam rahim ibu yang sedang mengandung. Orang yang menderita kanser ini tidak akan hidup lama.

Dari sini, kita mengetahui hikmah yang agung anatomi tubuh manusia di dalam perspektif Islam tentang perempuan-perempuan yang melanggar batas-batas syariat iaitu bahawa model pakaian perempuan yang benar adalah yang menutupi seluruh tubuhnya, tidak ketat, tidak telus, kecuali wajah dan telapak tangan.

Semakin jelaslah bahawa pakaian yang sederhana dan sopan adalah upaya preventif yang paling bagus agar tidak terkena “azab dunia” seperti penyakit tersebut di atas, apalagi azab akhirat yang jauh lebih dahsyat dan pedih. Kemudian, apakah setelah adanya kesaksian dari ilmu pengetahuan kontemporari ini-padahal sudah ada penegasan hukum syari’at yang bijak sejak 14 abad silam-kita akan tetap tidak berpakaian yang baik (tudung), bahkan malah tetap bertabarruj ???

(Sumber: Al-I’jaaz Al-Ilmiy fii Al-Islam wa Al-Sunnah Al-Nabawiyah, Oleh: Muhammad Kamil Abd Al-Shomad)




1. Pastikan solat di awal waktu.

Apabila sudah solat, mungkin tidur kita akan lebih berkualiti kerana hati kita tenang setelah sudah menunaikan kewajipan.
Umumnya, solat di awal waktu lebih afdhal ketika tiada maslahat-maslahat lain yang ingin dicapai seperti meramaikan jemaah bagi waktu subuh, memperbanyakkan solat sunat sebelum asar, membolehkan Qiamullail bagi Isyak dan menyejukkan bahang bagi Zohor. Tanpa alasan dan maslahat tadi maka, semua solat adalah afdhal di awalnya.

2. Elakkan dari memakan makanan berat sebelum tidur.

Ini kerana, apabila kita memakan makanan yang berat, perut akan menjadi penuh dan sukar untuk bernafas ketika tidur. Badan kita juga terpaksa bekerja untuk memproses makanan tersebut.

3. Minum segelas air masak sebelum tidur.

Air masak akan membantu kita memelihara kesihatan tubuh, melancarkan sistem metabolisme tubuh serta membantu mengurangkan berat badan. Minum segelas air masak sebelum tidur juga bertujuan bagi mengelakkan kita terkena serangan jantung dan juga strok. Di mana kedua-dua penyakit di atas merupakan punca kematian terbanyak yang dicatatkan di Malaysia.

4. Biasakan diri mengambil wuduk sebelum tidur.

Rasulullah SAW bersabda :

“Barangsiapa tidur dimalam hari dalam keadaan suci (berwudhu ‘) maka Malaikat akan tetap mengikuti, lalu ketika dia bangun nescaya Malaikat itu akan berucap’ Ya Allah ampunilah hamba mu si fulan, kerana ia tidur di malam hari dalam keadaan selalu suci ‘”

                                                                                                           (HR Ibnu Hibban dari Ibnu Umar ra)

5. Siapkan segala tugasan sebelum tidur.

Kerana apabila tugas kita selesai, hati akan menjadi tenang semasa tidur.

6. Memaafkan semua orang sebelum tidur.

MEMAAFKAN semua orang sebelum tidur adalah salah satu tip untuk tidur dalam keadaan tenang dan berkualiti. Kita perlu memaafkan orang kerana kita juga tanpa disedari mungkin melakukan tindakan yang boleh membuat orang terasa hati. Semoga Allah melembutkan hati kita semua, agar mudah memaafkan & dimaafkan oleh orang lain. Sentiasa memaafkan menjadikan hati kita sentiasa tenang dan bersih

7. Solat witir sebelum tidur.

Ini adalah Sunnah Rasulullah SAW

“Sesiapa yang mengerjakan sembahyang dhuha, berpuasa tiga hari daripada sebulan dan tidak pernah meninggalkan sembahyang witir sama ada dalam pelayaran dan bermuqim, dicatat baginya pahala orang syahid.” 
                                                                     
                                                                                                                      (Hadis riwayat at-Thabran)

“Sesungguhnya Allah telah memberikan (hadiahkan) kepada kamu satu solat, yang mana ianya adalah lebih baik daripada unta-unta yang terbaik. Iaitulah Solat Witir.”  

                                                                                   (Hadis Riwayat Abu Daud, Tarmizi dan Ibnu Majah)

8. Membaca doa tidur.

Kita Sebagai seorang manusia pasti akan tidur kan? dan kita juga sebagai seorang muslim perlu lah baca doa sebelum tidur dan selepas bangun tidur sebagai tanda syukur kita kepada Allah S.W.T yang masih memberikan nyawa untuk kita teruskan perjalan hidup di muka bumi ini

Sumber




Hati adalah tempat mangkalnya berbagai perasaan, tumbuh kembang antara kebaikan dan keburukan. Hati juga menjadi sumber ilham dan permasalahan, tempat lahirnya cinta dan kebencian, serta muara bagi keimanan dan kekufuran.

Hati juga sumber kebahagiaan jika sang pemiliknya mampu membersihkan berbagai kotorannya yang berserakan, namun sebaliknya ia merupakan sumber bencana jika sang
empunya gemar mengotorinya.

Antara Tanda-tanda Hati yang Kotor Ialah :-

1. Gelisah walaupun tiada masaalah
2. Selalu berbangga dengan diri sendiri
3. Angkuh dengan memandang hina terhadap semua orang
4. Sombong dan bongkak
5. Selalu mengintai keabaian orang dan menyebarkannya
6. Suka mengumpat dan membuka aib orang lain
7. Gembira melihat orang lain susah dan rendah daripada dirinya.
8. Lidah yang tajam atau tidak menjaga hati orang.
9. Suka menyakiti hati orang dengan sindiran
10. Berlagak alim semata-mata untuk dipuji orang
11. Menyampaikan ilmu dengan riak
12. Menganggap diri lebih hebat daripada orang lain
13. Berpakaian elok untuk dipuji
14. Derhaka kepada kedua ibu bapa
15. Talam dua muka- manis didepan tapi jahat dibelakang
16. Suka mentuhkan dan memijak orang dengan kuasa yg ada
17. Solat yang tidak boleh khusyuk
18. Kagum terhadap diri sendiri
19. Selalu mencari salah orang
20. Cintai kepada duniawi dan materialistik
21. Mudah bersangka buruk terhadap orang
22. Membesar besarkan hal yang remeh temeh
23. Suka bergosip dan menabur fitnah
24. Menggunakan agama dan berdengki atas perkara duniawi.

Tepuk dada dan tanyalah Iman, Muhasabah diri sendiri dimanakah Tahap IMAN kita?

Sumber

Harta Berharga Bagi Seorang Isteri

Posted by Al Hilm
2 Feb 2014

Bagi seorang wanita, harta yang paling berharga di dalam hidup ini adalah seorang suami yang soleh. Kepadanyalah, seorang isteri akan merasakan kebahagian di dalam hidupnya dan di Akhirat kelak. Keberuntungan yang akan diterima seorang isteri, jika dia menyakini hidupnya, memberikan segala cinta, perhatian, dan kasih sayangnya kepada suami yang soleh. Kerana pada diri si suamilah, seorang isteri akan mendapatkan apa yang didambanya; Ketenangan, keteduhan, kedamaian, perlindungan dan cinta serta sayang.

Suami yang soleh adalah seorang yang dapat membahagiakan isteri dan anaknya, serta keluarganya baik di dunia ini ataupun di Akhirat kelak. Seorang suami yang soleh tidak akan memberi makan isteri dan anak-anaknya kecuali dengan harta yang halal.

Seorang suami yang soleh adalah seorang suami yang mampu menjaga amanah yang diberikan kepadanya. Dan isteri adalah amanah yang diberikan kepada seorang lelaki yang menjadi suaminya.

Suami yang soleh adalah seorang suami yang mampu memperlakukan isteri dan anaknya dengan sifat-sifat yang terpuji, seorang suami yang soleh akan selalu memperlakukan isterinya dengan sabar; sabar dengan setiap kesalahan-kesalahan isterinya, dan memperlakukan isterinya dengan kelembutan dann. penuh maaf saat isteri dipenuhi dengan emosi dan kemarahan.




Suami yang soleh adalah suami yang mampu menjadi pemimpin di dalam rumah tangganya. Seorang suami bagaikan pemerintah di dalam rumah tangganya, seorang suami yang soleh adalah yang mampu memperhatikan hak dan kepentingan rakyatnya di dalam pemerintahan yang dipimpinnya, iaitu isterinya.

Seorang suami yang soleh akan selalu mampu bersikap bijaksana di dalam tindakannya, menghargai pendapat isterinya, dan jika terjadi perbezaan pendapat dengan isterinya, dengan sikap terpuji dan penuh cinta kasih menghargai pendapat sang isteri, serta mencari titik temu bersama dalam kerangka yang diperintahkan oleh Allah dan mejauhi segala yang dilarang oleh Allah.


Seorang suami yang soleh akan selalu mampu menjadi teladan terpuji buat isteri dan anak-anaknya. Mampu menumbuhkan kebiasaan-kebiasaan yang baik, dan mendidik diri, isteri, dan anak-anaknya untuk menapak di jalan-jalan yang menuju keredhaan Allah.

Seorang suami yang soleh adalah seorang suami yang mampu membuat dirinya, isterinya dan anak-anaknya mencintai ilmu, menguasai ilmu dan mampu mengamalkannya, menjadikan ilmu yang diperolehnya itu bermanfaat bagi bangsa, negara, dan agamanya.

Seorang suami yang soleh adalah seorang suami yang mampu membuat isterinya dan anak-anaknya tumbuh, dan berkembang menjadi peribadi yang luar biasa serta menapak tangga-tangga kejayaan di dunia ini dan Akhirat kelak.

Seorang suami yang soleh adalah seorang suami yang akan selalu menjaga isteri dan anaknya dari api neraka…






Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Apabila seseorang wanita melakukan solat lima waktu, puasa Ramadan, memelihara maruahnya, dan taat suami, maka masuklah mana-mana pintu syurga yang kamu kehendaki.” 
                                                                                                                                               (Riwayat )

Seroang wanita memang mudah masuk ke syurga berbanding lelaki. Ini kerana, jika seorang wanita itu betul-betul mengikuti apa yang telah ditetapkan dalam agama Islam. Syurga adalah tempatnya.

Berbanding dengan lelaki, banyak yang perlu ditanya sebelum masuk ke syurga, Allah akan tanya anak-anaknya, isteri-isterinya, berkenaan apa yang dibuat semasa hayatnya, jihadnya kemana dan semualah. Macam-macam lagi pertanyaan Allah.

Tetapi, wanita juga yang paling ramai di dalam neraka kerana solat yang dilakukan oleh seorang wanita itu kadangkala tidak mencegah dirinya daripada perkara keji dan mungkar, wanita juga antara yang suka berpuasa, tetapi puasanya hanya dapat lapar dan dahaga sahaja, tapi masih melakukan dosa-dosa, samaada dosa kecil atau besar.

Wanita antara yang susah menjaga maruahnya, masih membuka aurat, walaupun bertudung, tetapi tidak sangat mengikut tuntutan syarak dan wanita juga juga sering gagal memberi ketaatan kepada suaminya.

Bagaimana dengan menjaga maruah dan taatkan suami?

Dua perkara ini lebih ramai yang gagal. Maruah diri tidak dijaga sewaktu keluar kerja. Pakaian yang mendedahkan aurat boleh membawa banyak dosa lain selepasnya. Pergaulan bebas juga boleh membawa kepada dosa mulut, mata dan telinga.

Mengenai mentaati suami, realitinya isteri paling ramai gagal memberi ketaatan kepada suaminya. Perintah suami mudah disanggah isteri dan kehendaknya saja yang dipakai. Layakkah mereka itu masuk syurga dalam keadaan itu?

Insaflah wahai wanita yang bergelar isteri. Jangan jadikan diri anda sebagai orang yang pertama masuk ke dalam neraka. Semoga segala amalan yang kita lakukan diterima oleh Allah.

Sumber



Wudhu disyari‘atkan untuk mengangkat hadats kecil. Orang yang berwudhu akan berada di dalam keadaan suci dan seterusnya dapat menunaikan ibadat-ibadat yang hanya sah apabila dia berkeadaan suci daripada hadats seperti sembahyang, thawaf serta memegang mushaf al-Qur’an.

Keharusan melakukan perbuatan-perbuatan tersebut akan terhenti dengan berlakunya perkara-perkara yang boleh membatalkan wudhu dan di antara perkara yang membatalkan wudhu itu ialah tidur.

Jumhur ulama mazhab fiqh menyimpulkan, tidur itu boleh membawa kepada batalnya wudhu. Ini berdasarkan hadits yang diriwayatkan dari ‘Ali bin Abi Thalib Karramallahu Wajhah bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda :

 “Pengikat (pengawal) dubur (daripada keluar sesuatu daripadanya) itu ialah dua belah mata (jaga), maka sesiapa yang tidur, hendaklah dia berwudhu.” 
                                                                                                                        (Hadits riwayat Abu Daud)

Hadits tersebut bermaksud bahawa sedar atau jaga (tidak tidur) itu akan mengawal keluarnya sesuatu dari dubur, manakala orang yang tidur kadang-kadang keluar sesuatu daripada duburnya tanpa disedarinya.

Walau bagaimanapun, adakah semata-mata tidur membatalkan wudhu? Apakah sukat-sukat tertentu yang menjadi ukuran dalam penentuan tidur yang boleh membatalkan wudhu itu?

Untuk menjawab persoalan tersebut, berikut dijelaskan perkaraperkara yang berkaitan dengan tidur yang membatalkan wudhu dan yang tidak membatalkan wudhu mengikut pendapat para ulama mazhab Syafi‘e.

Tidur Yang Tidak Membatalkan Wudhu

Para ulama mazhab Syafi‘e menjelaskan dengan terperinci mengenai tidur yang tidak membatalkan wudhu itu. Mereka berpendapat bahawa tidur itu bagaimanapun keadaannya boleh membatalkan wudhu kecuali tidur di dalam posisi duduk,sama ada duduk di atas lantai atau tanah seperti duduk di atas tikar sembahyang atau duduk di atas kerusi seperti duduk di dalam kapal terbang dan termasuklah duduk sambil memeluk lutut. Tidur dengan cara demikian tidaklah menyebabkan wudhu batal, tetapi hendaklah memenuhi syarat atau ketetapan berikut :

1) Hendaklah tetap tempatnya (punggung dan tempat keluar hadats) di atas tanah, lantai, kerusi, binatang tunggangan atau selainnya, iaitu dua pipi punggungnya tetap pada tempatnya, tidak berubah dari posisi awal sebelum dia tidur, sekalipun jika seseorang itu bersandar atau duduk berpeluk lutut pada atau di atas sesuatu yang boleh menyebabkan dia jatuh atau gugur apabila sesuatu itu tiada. Ini kerana tidur dalam keadaan ini tidak dikhuatiri akan keluar sesuatu (angin) dari duburnya (kentut). Adapun kebarangkalian keluarnya sesuatu dari qubul bukanlah perkara yang perlu diambil kira kerana ianya jarang berlaku.

Namun jika diyakini keluar angin daripada qubul sama ada lelaki atau perempuan, maka wudhu itu tetap batal.

2) Hendaklah tiada ruang di antara punggung dan tempat tetapnya itu ataupun tidak renggang di antara keduanya. Wudhu seseorang tidak akan batal jika terdapat ruang yang ditutup dengan sesuatu seperti kapas.
Wudhu orang yang tidur dengan posisi sedemikian adalah tidak batal. Perkara ini bersandarkan kepada hadits yang diriwayatkan dari Anas Radhiallahu ‘anhu, beliau berkata:
Maksudnya: “Para sahabat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pernah tidur kemudian mereka berdiri menunaikan sembahyang dengan tidak (lagi) mengambil wudhu.” (Hadits riwayat Muslim)
Perbuatan tidur yang dimaksudkan di dalam hadits ini ialah tidur dalam keadaan duduk yang tetap dan menurut riwayat lain, para sahabat itu tidur dalam keadaan duduk yang tetap sehingga kepala mereka terangguk-angguk hampir mencecah lantai. Mereka tidak lagi mengambil wudhu dan terus menunaikan sembahyang Isya’.Wudhu seseorang yang tidur dengan duduk yang tetap juga tidak batal jika pipi punggung atau salah satu pipi punggungnya berubah dari tempat asal atau terangkat selepas atau ketika dia bangun atau
sedar. Ini kerana asal keadaannya yang suci setelah berwudhu. 

Tidur Yang Membatalkan Wudhu

Wudhu seseorang akan batal jika tidurnya itu dalam keadaan yang tidak memenuhi syarat atau ketetapan di atas, iaitu apabila dia tidur dengan posisi punggung yang tidak tetap, tidur dengan posisi berdiri atau tidur dengan posisi berbaring, menelentang mahupun bertiarap walaupun dengan menutup atau menyumbat sesuatu
seperti kapas pada ruang antara punggung dan tempat letak punggung tersebut.

Tidur dalam keadaan duduk yang tetap juga boleh menyebabkan wudhu batal, jika seseorang mendapati punggungnya telah berubah dari tempat asalnya atau terangkat sebelum dia bangun atau sedar ataupun tempat duduknya berlubang-lubang seperti kerusi rotan.

Ini kerana telah berlalu (berlaku) detik dia tidur dengan tidak tetap duduknya.

Adakah Wudhu Batal Disebabkan Mengantuk?

Wudhu seseorang tidak menjadi batal disebabkan mengantuk. Sekiranya seseorang menutup mata kerana mengantuk, tetapi masih dapat mendengarkan percakapan orang di sekeliling, maka dia masih boleh saja melakukan ibadat tanpa perlu mengambil wudhu semula kerana dia dikira masih jaga.

Antara tanda-tanda orang yang mengantuk itu ialah, dia masih dapat mendengar percakapan orang di sekelilingnya walaupun tidak memahami percakapan itu. Adapun jika dia tidak sedar, tidak mendengar lagi
percakapan di sekelilingnya dan bermimpi, maka dia telah dikira tidur.

Adakah Wudhu Batal Disebabkan Rasa Syak Atau Ragu?

Menurut para ulama, wudhu seorang yang tidur dengan posisi duduk yang tetap tidak batal dalam keadaan seperti berikut:-

1) Jika dia merasa ragu atau syak sama ada pipi punggungnya atau salah satu pipi punggungnya berubah dari tempat asal atau terangkat.

2) Jika dia merasa ragu atau syak sama ada pipi punggungnya atau salah satu pipi punggungnya berubah dari tempat asal atau terangkat sebelum atau sesudah dia bangun atau sedar.

3) Jika dia merasa ragu atau syak sama ada dia tidur dengan posisi duduk yang tetap atau berubah.

4) Jika dia merasa ragu atau syak sama ada dia tidur atau hanya mengantuk.

Dalam hal lain mengenai perkara syak atau ragu ini juga, ulama ada menjelaskan bahawa seseorang yang merasa yakin dia masih dalam keadaan suci atau berwudhu’ apabila dia merasa ragu adakah wudhu’nya terbatal atau tidak, maka perasaan ragunya itu tidak menjejaskan wudhu’nya.

Oleh itu, dia boleh mendirikan sembahyang dengan wudhu’nya itu. Begitu juga sebaliknya, jika seseorang merasa yakin bahawa wudhunya sudah terbatal kemudian dia merasa ragu apakah dia masih mempunyai wudhu’, maka dihukumkan bahawa wudhunya telahpun terbatal.

Sekiranya timbul ragu pada diri seseorang, maka hendaklah diteruskan dengan apa yang diyakininya. Ini bersesuaian dengan salah satu qa‘idah fiqhiyyah yang menyebut bahawa:

Ertinya: “Keyakinan tidak dihilangkan oleh keraguan.”

Ini bermaksud keyakinan adalah satu perkara yang tetap, manakala ragu adalah satu perasaan yang mendatang. Oleh itu, sesuatu perkara itu dihukumkan mengikut apa yang tetap (yang diyakini) dan bukan yang diragui. 

Sunat Berwudhu Walaupun Tidur Dengan Posisi Yang Tidak Membawa Kepada Batal Wudhu

Walau bagaimanapun, seorang yang tidur dengan posisi yang tidak menyebabkan wudhunya batal adalah disunatkan untuk berwudhu lagi atas alasan berwaspada dari keberangkalian keluarnya hadas dan mengelak dari khilaf (perselisihan) para ulama.

Dalam pada itu juga, ulama mazhab Syafi‘e telah sepakat mengatakan bahawa memperbaharui wudhu itu adalah satu amalan yang dituntut mengikut keadaan tertentu.

Menurut pendapat yang ashah, memperbaharui wudhu itu disunatkan hanya apabila dia telah mengerjakan sembahyang fardhu atau sunat dengan wudhunya yang pertama tadi. Al-Qadhi Abu ath-Thaiyib di dalam kitabnya Syarh al-Furu‘, al-Baghawi, alMutawalli, ar-Ruyani dan lain-lain ulama mazhab memutuskan bahawa jika seseorang itu belum menggunakan wudhunya yang pertama dengan melakukan apa jua ibadah, maka hukum memperbaharui wudhu itu adalah makruh. 

Ibnu Hajar Rahimahullah pula menegaskan bahawa tuntutan sunat memperbaharui wudhu itu ialah apabila dia telah mengerjakan apa jua sembahyang sekalipun yang hanya satu rakaat. Jika dia tidak bersembahyang, walaupun telah melakukan sujud (sajdah atau syukur) ataupun thawaf tidaklah disunatkan memperbaharui wudhu, bahkan hukumnya adalah makruh.

Demikianlah dihuraikan beberapa perkara mengenai tidur dalam keadaan berwudhu. Kesimpulannya, wudhu tidak batal disebabkan tidur dalam posisi duduk dengan tempat yang tetap di atas lantai atau seumpamanya dan wudhu tidak batal jika ia disertai dengan perasaan ragu akan berlakunya perkara-perkara yang membawa kepada batal akibat tidur.




Hiburan sejati ialah hiburan yang bertapak di hati. Ia boleh membawa hati yang tenang. Syarat bagi ketenangan hati itu ialah dengan mengisi keperluan asasinya iaitu iman. Firman Allah Subhanahu wa ta‘ala dalam Al-Qur‘an yang tafsirnya :

“Orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikir kepada Allah. Ketahuilah! Dengan zikir kepada Allah itu, tenang tenteramlah hati manusia”. 
                                                                                                                                (Surah Al-ra‘ad: 28)

Oleh itu orang yang beriman akan mendapat hiburan dengan cara berhubung dengan Allah dengan melaksanakan perintah, kewajipan, melakukan perkara-perkara yang disunatkan seperti zikir, puasa, sedekah dan lain-lain seumpamanya, berinteraksi dengan alam ciptaan Allah, dan menerima segala ketentuan daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

Apabila melaksanakan perintah Allah, mereka terhibur kerana merasakan perintah itu datang daripada kekasihnya. Kalau yang menyuruh itu kekasih, tidak ada yang disusahkan bahkan kegembiraan yang akhirnya membawa ketenangan. Mereka rasa seronok dan terhibur dengan ibadah tersebut.

Orang mukmin juga rasa terhibur dengan warna kehidupan yang dicorakkan oleh Allah. Hatinya sentiasa bersangka baik dengan Allah, membuatkannya tidak pernah resah. Apabila diberi nikmat mereka rasa terhibur, lalu bersyukur. Diberi kesusahan, mereka terhibur, lalu bersabar. Mereka yakin dengan firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang tafsirnya :

“(Katakanlah wahai orang-orang yang beriman: “Ugama Islam yang kami telah sebati dengannya ialah): Celupan Allah (yang mencorakkan seluruh kehidupan kami dengan corak Islam); dan siapakah yang lebih baik celupannya selain daripada Allah? (Kami tetap percayakan Allah) dan                                                                    kepadaNyalah kami beribadat”                                                                                                                                                                          (Surah Al-Baqarah: 138)

Orang yang beriman juga akan terhibur apabila melihat alam ciptaan Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Mereka merasa tenang, bahagia dan gembira melihat pantai, bukit bukau, langit, laut dan sebagainya. Melihat, mendengar dan berfikir tentang keindahan itu sudah cukup bagi mereka merasai keindahan alam dan kebesaran penciptaNya. Sifat sedemikian merupakan sifat orang-orang yang bertaqwa iaitu orang yang berusaha memelihara dirinya daripada menyalahi hukum dan undang-undang Allah Ta‘ala. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala tafsirnya :

“Sesungguhnya pertukaran malam dan siang silih berganti, dan pada segala yang dijadikan oleh Allah di langit dan di bumi, ada tanda-tanda (yang menunjukkan undang-undang dan peraturan Allah) kepada kaum yang mahu bertaqwa”. 
                                                                                                                                      (Surah Yunus: 6)

Selain itu mereka ini dapat menghayati maksud sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang maksudnya:

“Sesungguhnya Allah itu indah. Dia suka keindahan”.
                                                                                                                              (Hadis riwayat Muslim)

Islam tidak menolak hiburan dari luar selama hiburan luar itu boleh menyumbang dan menyuburkan lagi hiburan dalaman hati dengan syarat ia mematuhi syariat. Alunan ayat suci Al-Qur‘an, selawat yang memuji Nabi, lagu yang menyuburkan semangat jihad, puisi atau syair yang menghaluskan rasa kehambaan kepada Tuhan, pasti akan menyuburkan lagi iman mereka. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang tafsirnya :

“Allah telah menurunkan sebaik-baik perkataan iaitu kitab suci Al-Qur‘an yang bersamaan isi kandungannya antara satu dengan yang lain (tentang benarnya dan indahnya), yang berulang-ulang (keterangannya, dengan berbagai cara); yang (oleh kerana mendengarnya atau membacanya) kulit badan orang-orang yang takut kepada Tuhan mereka menjadi seram; kemudian kulit badan mereka menjadi lembut serta tenang tenteram hati mereka menerima ajaran dan rahmat Allah”.
                                                                                                                                (Surah Al-Zumar: 23)

FirmanNya lagi yang tafsirnya :

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementerlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah”. 
                                                                                                                               (Surah Al-Anfaal: 2)

Dan firmanNya lagi yang tafsirnya :

“Iaitu orang-orang yang apabila disebut nama Allah, gerun gementarlah hati mereka, dan orang-orang yang sabar terhadap kesusahan yang menimpa mereka, dan orang-orang yang mendirikan sembahyang, serta orang-orang yang mendermakan sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepadanya”. 
                                                                                                                                   (Surah Al-Hajj: 35)

Semua ibadat jika dilaksanakan dengan penuh perhatian, pasti akan memberi ketenangan jiwa, lihat sahaja ibadat sembahyang, sekalipun merupakan suatu kewajipan orang Islam, ia juga suatu hiburan yang kekal yang menjadikan hati orang yang beriman dan bertaqwa itu terhibur dengan sembahyang kerana mereka terasa sedang berbisik-bisik, bermesra, mengadu dan merintih dengan kekasih hatinya iaitu Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

Hal ini telah dijelaskan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bahawa dengan sembahyang, hati orang beriman dan bertaqwa sudah terhibur, Baginda bersabda yang maksudnya :

“Di antara kesenangan dunia yang aku sukai ialah wanita, wangi-wangian dan penenang hatiku adalah sembahyang”. 
                                                                                                                     (Hadis riwayat Al-Nasa‘ei)

Sumber

- Copyright © 2013 Al Hilm - Fansuber Otaku - Powered by Blogger - Designed by Johanes Djogan -